Ahad, 27 September 2009

BERITA BAIK UTK PEKERJA KILANG TAYAR DI KEDAH

China perlu timbang keluar tayar di Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Pengeluar tayar yang berpangkalan di China harus mempertimbang untuk beroperasi di Malaysia bagi mengelakkan tarif sebanyak 35 peratus yang dikenakan ke atas import tayar buatan China oleh Amerika Syarikat (AS).
"China beli banyak getah daripada Malaysia sebagai bahan mentah untuk menghasilkan tayar di negara itu. Jika pengeluar membuka kilang dan eksport dari Malaysia, mereka boleh mengelakkan kesan cukai tambahan," kata Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-China, Ir. Liew Choon Kong di sini, semalam.

Keputusan Amerika Syarikat untuk mengenakan cukai tambahan ke atas tayar buatan China mencetuskan rungutan daripada syarikat tayar tempatan di negara itu.
Ini juga mendorong China membantah keras dasar perlindungan yang diamalkan oleh AS.
Menurut Choon Kong, jika tayar dikeluarkan di Malaysia oleh pengeluar yang berpangkalan di China, spesisifkasinya tidak akan dikategorikan sebagai 'China' yang akan membolehkan produk itu memasuki pasaran AS.
"Dengan cara ini, ia juga menjimatkan kos, dan pada masa yang sama mengelak kesan tarif baru AS ke atas tayar buatan China," katanya.
Choon Kong berkata, langkah itu akan juga secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang perniagaan bagi syarikat Malaysia dan China untuk berganding bahu, memandangkan persekitaran ekonomi semasa.

Beliau juga menggesa pengeluar makanan dan minuman tempatan untuk menembusi pasaran China kerana ada banyak peluang yang belum dimanfaatkan di sana, memandangkan jumlah penduduknya yang semakin meningkat.
"Orang China sukar mendapatkan bekalan kopi. Jadi ini contoh pasaran yang boleh dipertimbangkan oleh pengeluar Malaysia," tegasnya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan